LEBANON sebuah negeri di Timur Tengah yang terhampar di permukaan lautan Mediterranean dengan keluasan 10,452 km. Bersempadan dengan Syria di sebelah Utara hingga ke Selatan sepanjang 375 km dan dengan Israel di Selatan sepanjang 73 km.
Populasi adalah sekitar 4.5 juta, sementara sebanyak 11 juta rakyat negeri ini berada di luar. Keadaan ini satu kepelikan bagi negeri ini. Beirut adalah ibu negerinya dikenali dengan jolokan sebagai Perancis, manakala Lebanon itu sendiri dijuluki dengan sebagai Swiss di Timur Tengah. Tidak hairan kalau Beirut disenaraikan sebagai lokasi ke 10 di dunia yang menjadi pilihan pelancong. Betapa tidak berdiri di Beirut kita seolah-olah berada dalam pesta neon berwarna warni.
Bagaimana pun setelah berlaku beberapa kali peperangan jolokan itu seakan tidak relevan lagi kerana keamanan dan kedamaian dikecap selama ini terganggu. Lantaran sering kali berlaku pergolakan menyebabkan orang luar kurang berani untuk melancong ke negara "Putih" ini. Lebanon bermaksud Putih. Mengunjungi ke Lebanon akan disifatkan sebagai sedia untuk mencari masalah.
Menurut sejarah, Beirut bandar yang penuh sejarah dan penuh misteri. Kota ini mengalami keruntuhan dan dibangunkan sebanyak tujuh kali. Ia menjadi perbandingan dengan Phoenix. Satu ketakjuban kejadian ini kerana Beirut tetap kekal sampai kini dan menjadi salah satu negara pelancongan terhebat di dunia. Segala kesan persejarahannya masih terpelihara untuk disaksikan dunia.
Semua ada di sini dari keajaiban alam semula jadinya berusia jutaan tahun, kepada kerencaman dunia moden, serta kepelbagaian sejarah hidup manusia yang menceritakan kewujudannya. Semua ada dan terbungkus indah.
Negara strategik.
Kerana dari segi geografi kedudukannya strategi menyebabkan ia menjadi rebutan. Lebanon laksana sebagai perawan muda yang cantik menawan, ia digiuri oleh banyak kuasa besar. Paling bernafsu dengan Lebanon ialah Israel -- Zionis Israel. Israel tidak pernah tidur daripada mengimpikan untuk memiliki Lebanon sebagai pangkalan meledakkan nafsunya untuk menjajahi bumi Timur Tengah.
Kali terakhir berlaku perang Lebanon dengan Israel ialah, 2006. Perang ini meletus apabila Hizbullah satu puak atau kumpulan di Lebanon mempertahan bumi Lebanon dari dimasuki Israel dalam misi untuk memperluaskan jajahan takluknya selepas mengambil bumi Pelastin sedikit demi sedikit. Pasukan Hizbullah dari golongan Syiah di Lebanon telah berperang dengan tentera Israel (Israelis Defence Force (IDF). Peperangan itu berlarutan sehingga terpaksa PBB mencampurinya. Peperangan ini menjadi Lebanon yang damai terusik serta dibimbangi. Sebelum itu perang saudara di antara Kristian dengan Islam berlaku yang mana peperangan inilah merampas kedamaian dan keamanan yang dinikmati Lebanon selama ini. Banyak criteria kalau hendak ditulis mengenai Lebanon. Bagai pencatat yang bermusafir ke negeri itu boleh menulis buku setebal lebih 1,000 muka surat. Bagi penyair yang sedang mabuk asmara boleh mengarang seribu puisi cinta. Alam semula jadinya gunung, laut, segala kota-kota akan memberi inspirasi bertimbun-timbun.
Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada sejarah yang berlaku di Lebanon. Dalam masa beberapa hari berada di Lebanon tidak memberi masa cukup untuk menulis segala yang ada di sana. Lebanon adalah negara yang menyimpan seribu cerita baik yang sudah diusik atau masih belum terusik. Selama seminggu lebih (bermula 13 Mac hingga 21 Mac), berada di Lebanon saya hanya memilih beberapa lokasi yang signifikan dan ada makna buat saya sahaja untuk dilawati. Pemergian kali kedua ini sebagai merintis jalan lebih dalam mengenali Lebanon dan dunianya lebih dekat. Perjalanan saya kali ini adalah atas "misi kemanusiaan". Kali pertama saya ke Beirut ialah lapan tahun lampau (2010) kerana menghadiri persidangan anjuran sebuah gerakan Islam sedunia yang cuba membangkitkan semula pemerintah era Khalifah.
0 Comments
Post a Comment